suria

Kanak-kanak 12 Tahun Mati Lemas Di Sungai Perak

IPOH: Mayat kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dilaporkan terjatuh di Sungai Perak berhampiran Kampung Temerlong Hilir, Lenggong, semalam, ditemui lima kilometer dari tempat kejadian, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Abdul Manab Baharum berkata mayat Mohd Aiman Zainuddin Abd Rahman, ditemui penduduk kampung pukul 7 pagi.

"Mayat dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi dan menambah dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, mangsa sedang bermain dengan kawan-kawan berhampiran rumahnya dikatakan tergelincir dan dibawa arus deras sungai.

"Rakan-rakan Mohd Aiman cuba membantunya tetapi gagal dan memberitahu keluarga mangsa," katanya.

Polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat berusaha mencari sehingga 12 tengah malam tetapi gagal menemui mangsa.

Abdul Manab berkata polis dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Gerik juga sedang berusaha mencari seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang ketika mandi di sungai sama berhampiran Kampung Kuala Rui, Gerik, petang tadi.

Remaja berkenaan, Shum Zu Zian, mandi di sungai pukul 3 petang bersama seorang rakan dan dikatakan gagal berenang ketika dibawa arus deras dan tenggelam.

"Rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan penduduk kampung berhampiran, manakala mangsa masih belum ditemui," kata Abdul Manab. BERNAMA

Artikel Sebelum

Waspada Senjata Pembangkang - PM

Artikel Lain