suria

Enam Sekeluarga Tinggal Sehelai Sepinggang, Rumah Hangus Di Dungun

DUNGUN: Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Paya, Balai Besar dekat sini, hangus dalam kebakaran petang Sabtu.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun Penolong Penguasa Bomba Norazizi Che Noh berkata ketika kejadian pada 3.30 petang, pemilik rumah Abd Jabar Abdullah, 43, seorang kontraktor pendawaian elektrik, sedang bekerja di Paka manakala isteri serta empat anaknya, yang berusia sembilan hingga 15 tahun, berada di rumah nenek mereka di Kampung Batu 5.

"Bomba yang menerima panggilan orang ramai kira-kira jam 3.43 petang bergegas ke tempat kejadian bersama 11 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba Paka.

Empat anggota Jabatan Pertahanan Awam turut bergegas ke tempat kejadian.

"Pasukan bomba tiba lapan minit selepas menerima panggilan dan mendapati keseluruhan rumah terbabit telah musnah terbakar, namun mereka berjaya memadamkan kebakaran kira-kira 20 minit selepas itu," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Waspada Senjata Pembangkang - PM

Artikel Lain