suria

Bajet 2013 Untuk Kerajaan Beli Undi, Kayakan Kroni - Guan Eng

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2013 dilihat sebagai bajet pilihan raya kerana ia tidak mengambil kira fiskal atau keadaan kewangan negara, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, jika melihat mengenai perbelanjaan negara yang dibuat pada tahun lepas, ia melebihi sebanyak RM20 bilion daripada yang asal iaitu RM232 bilion.

"Kalau kita lihat dari segi hutang, telah naik daripada RM456 bilion tahun lepas kepada RM502 bilion untuk akhir tahun ini.

"Jadi, jelas bahawa ia adalah satu bajet pilihan raya untuk (kerajaan) membeli undi tetapi tentu kita harap ia bukan sekadar untuk beli undi tetapi membolehkan kroni-kroni kaya.

"Kita lihat di sini, yang lebih dapat manfaat adalah kroni-kroni dengan pelbagai projek yang dijanjikan," katanya kepada para pemberita di luar Dewan Rakyat, Parlimen di sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai Belanjawan 2013 bertemakan "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati" yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, jika janji ditepati seperti yang dinyatakan oleh kerajaan, maka ia sememangnya janji ditepati itu untuk kroni-kroni.

"Bajet pilihan raya (ini), kita bimbang kalau Pakatan Rakyat menang (dalam pilihan raya) akan buat kita lebih susah lagi.

"Bagaimanapun, di bawah kepimpinan (Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dibuat dalam Buku Jingga akan dilaksanakan dan tidak diberi kepada kroni-kroni," katanya.

Kerajaan memperuntukkan berjumlah RM251.6 bilion untuk Belanjawan 2013, berbanding RM232.8 bilion untuk Belanjawan 2012.

Najib dalam pembentangan Belanjawan 2013 berkata, daripada keseluruhan peruntukan RM251.6 bilion itu, sejumlah RM201.9 bilion ialah bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion untuk peruntukan pembangunan.

Artikel Sebelum

Waspada Senjata Pembangkang - PM

Artikel Lain