suria

Bajet 2013 Tidak Gambarkan Senario Ekonomi Antarabangsa, Keupayaan Domestik - Anwar

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Belanjawan 2013 yang dibentangkan pada Jumaat tidak menggambarkan senario ekonomi antarabangsa dan keupayaan domestik.

Beliau berkata, belanjawan kebiasaannya memberikan unjuran berdasarkan senario dan keupayaan kedua-duanya.

"Kedua-dua ini nampak tak disentuh sangat tetapi nampak beberapa gimik politik yang agak keterlaluan.

"(Ini) kegagalan (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk menunjukkan senario ekonomi antarabangsa. Kedua, kedudukan (dan) rujukan yang tidak realistik terhadap keupayaan domestik yang dinyatakan," katanya kepada para pemberita di luar Dewan Rakyat, Parlimen di sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai Belanjawan 2013 bertemakan "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati" yang dibentangkan oleh Najib di Dewan Rakyat, Parlimen pada Jumaat.

Anwar berkata, terdapat beberapa isu boleh dijawab seperti yang disentuh mengenai perumahan yang besar tetapi tidak pernah dicapai seperti diharapkan.

Berhubung Perbadanan Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) yang dinyatakan Perdana Menteri, Anwar berkata, ia merupakan suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab kerana menyentuh mengenai hutang RM30 bilion yang boleh dibayar dalam tempoh antara 15 hingga 16 tahun.

"Kita masih pertahankan dasar kita dan beberapa dasar itu (yang dibentangkan oleh Perdana Menteri) tidak mengambil kira kedudukan ekonomi dan defisit yang 'membengkak'.

"Jadi ada percanggahan di antara angka-angka yang kita akan ulas pada malam ini di jamuan (Majlis Makan Malam Pakatan Rakyat) dan Isnin," katanya.

Najib dalam pembentangan Belanjawan 2013 menyifatkan cadangan untuk memansuhkan keseluruhan pinjaman PTPTN merupakan suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Perdana Menteri mempersoalkan cadangan tu dan bertanya siapakah yang akan menanggung lebih RM30 bilion hutang PTPTN jika ia ingin dimansuhkan.

"Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat Malaysia? Bertanggungjawabkah kita yang berhutang, masyarakat yang menanggung? Itulah persoalannya," kata Najib.

Menurut Najib, Belanjawan 2013 memperkenalkan pemberian insentif bagi memudahkan proses pembayaran balik pinjaman PTPTN, antaranya diskaun 20 peratus daripada jumlah pinjaman kepada peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus dalam tempoh setahun bermula 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013.

Artikel Sebelum

Waspada Senjata Pembangkang - PM

Artikel Lain