suria

PM Mula Bentang Bajet 2013

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mula membentangkan Bajet 2013 pada pukul 4 petang Jumaat di Dewan Rakyat di sini.

Bajet kelima yang dibentangkan Najib sejak beliau memegang jawatan Menteri Kewangan ini dijangka akan meneruskan dasar afirmatif yang diperkenalkan Najib sejak tiga tahun lalu untuk terus meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Media hari ini turut melaporkan bahawa Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa membayangkan berita baik kepada kira-kira 1.4 juta kakitangan awam menerusi Bajet 2013.

Katanya secara umum, bajet kali ini membawa berita baik buat segenap lapisan masyarakat kerana menjaga kebajikan rakyat termasuk penjawat awam.

Sementara itu, Najib yang berpakaian baju Melayu berwarna hijau lengkap bersamping, membentangkan Belanjawan 2013, bertema "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati".

Ia disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen radio dan televisyen utama.

Dengan pilihan raya umum ke-13 bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja, rakyat Malaysia teruja untuk mengetahui apakah berita baik untuk mereka dalam Belanjawan kali ini berikutan kebimbangan mereka terhadap punca pendapatan yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan mereka.

Rakyat mengharapkan kerajaan akan menangani isu-isu berkenaan dan pada masa yang sama memastikan keadaan ekonomi negara kekal kukuh berikutan ketidaktentuan ekonomi global.

Menjelang pembentangan Belanjawan hari ini, pakar ekonomi, ahli politik serta rakyat biasa dan setiap lapisan masyarakat telah menyuarakan pendapat mereka mengenai apa yang Najib patut masukkan di dalam Belanjawan.

Najib telah menulis dalam blog beliau bahawa Belanjawan ini disediakan selepas mengambil kira pelbagai pandangan daripada rakyat.

"Terima kasih atas input anda , ini benar-benar mewakili sesuatu yang disuarakan oleh rakyat, untuk rakyat - dan saya berharap semua lapisan rakyat Malaysia dapat melihatnya daripada isu-isu yang ditangani," tulis beliau.

Belanjawan ini akan dibahaskan dan diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula 24 September dan akan berakhir pada 27 November.

Belanjawan ini juga adalah yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan berikutan mandat kerajaan akan tamat pada 28 April, 2013.

Najib boleh memohon membubarkan Parlimen pada bila-bila masa antara sekarang dan akhir April. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain