suria

Bina Lebih Banyak Rumah Mampu Milik Ringankan Beban Rakyat - Chor

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2013, yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, amat menggembirakan rakyat terutama dalam membantu meringankan beban mereka menerusi pembinaan lebih banyak rumah mampu milik.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung berkata, langkah itu merupakan keprihatinan Perdana Menteri terhadap golongan berpendapatan rendah bagi membolehkan mereka memiliki rumah pertama.

"Pembinaan Pangsapuri Rakyat (PPR) melalui peruntukan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga sangat berkesan bagi meringankan beban rakyat," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen pada Jumaat.

Najib mengumumkan sebanyak 123,000 unit rumah harga berpatutan akan dibina di kawasan strategik tahun depan dan peruntukan RM1.9 bilion bagi membolehkan inisiatif itu dilaksanakan Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara.

Selain itu, sejumlah RM500 juta akan dibelanja oleh PR1MA bagi membina 50,000 rumah di bandar utama di seluruh negara dengan harga jualan antara RM100,000 hingga RM400,000 seunit.

Sementara itu, Anggota Parlimen Tangga Batu Datuk Idris Haron berkata, keluhan rakyat didengar pemimpin peringkat atasan dan hasilnya, pelbagai ruang disediakan dalam belanjawan kali ini bagi menyelesaikan masalah mereka.

Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad itu berkata sebagai contoh, projek perumahan rakyat diberi keutamaan dalam belanjawan ini, yang antara lain, membina rumah murah dan mampu milik untuk golongan sasar.

"Kita (SPNB) komited untuk meneruskan projek perumahan rakyat seperti yang disebut dan diamanahkan dalam belanjawan ini.

"Ini satu lagi berita gembira untuk rakyat, dan kita di SPNB berasa bangga dan terharu untuk sama-sama terlibat dalam rancangan membantu rakyat mendapatkan kehidupan yang lebih selesa," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain