Belanjawan 2013 Bukti Komitmen PM Dekati Semua Golongan Rakyat - Semasa | mStar

Belanjawan 2013 Bukti Komitmen PM Dekati Semua Golongan Rakyat

KUALA LUMPUR: Sekali lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus konsisten dengan komitmennya untuk mendahulukan rakyat apabila Belanjawan 2013 yang dibentang di Dewan Rakyat pada Jumaat mendekati hampir semua golongan rakyat.

Belanjawan 2013 yang bertemakan "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati", merangkumi lima fokus utama selaras dengan slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang menjadi tonggak pentadbiran beliau.

Lima fokus itu ialah Merangsang Aktiviti Pelaburan, Memperkasa Pendidikan dan Latihan, Membudaya Inovasi, Meningkat Produktiviti, Konsolidasi Fiskal dan Mempercekap Penyampaian Perkhidmatan Awam dan Mensejahterakan Rakyat.

Kanak-kanak berlainan keupayaan (OKU), petani, nelayan, pesara kerajaan, bekas tentera tanpa pencen, pengusaha bas sekolah, pelajar dan pengguna feri di Sarawak, Labuan dan Sabah adalah antara kumpulan yang mendapat perhatian kerajaan.

Dengan pengukuhan ekonomi negara berikutan hasil kerajaan bagi tahun depan dianggarkan RM208.6 bilion, kerajaan akan terus mengurangkan defisit kepada empat peratus.

Seperti diharapkan, Belanjawan 2013 yang dibentangkan selama dua jam 15 minit memberi peruntukan besar kepada pendidikan iaitu sejumlah RM38.7 bilion atau 21 peratus daripada keseluruhan belanjawan.

Belanjawan 2013 berjumlah RM251.6 bilion berbanding RM232.8 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2012.

Najib juga memperkenalkan beberapa insentif baharu dalam Belanjawan tersebut, antaranya melaksanakan projek perintis taska kanak-kanak OKU, Skim Perlindungan Takaful Padi kepada pengusaha sawah, perluasan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada individu bujang yang berumur 21 tahun ke atas dan bependapatan RM2,000 sebulan.

Kumpulan belia yang berumur 21 hingga 30 tahun turut menikmati rebat "one-off" RM200 bagi pembelian telefon mudah alih pintar 3G, pemberian bonus kepada penjawat awam sebanyak satu setengah bulan gaji.

Bagi meringankan kos rawatan rakyat, kerajaan juga akan membuka tambahan 70 buah Klinik 1Malaysia di seluruh negara pada tahun depan, manakala rakyat Malaysia yang berpendapatan kurang dari RM3,000 layak memohon untuk mendapatkan diskaun 50 peratus kadar tambang perkhidmatan komuter KTMB.

Seiring dengan falsafah kerajaan yang sedia mendengar masalah rakyat, kerajaan memperuntukkan RM1.9 bilion untuk membina 123,000 unit rumah dengan harga berpatutan di kawasan-kawasan strategik seluruh negara.

Selain mengumumkan pengurangan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilo, Najib turut menyeru para peniaga supaya tidak membebankan rakyat dengan kenaikan harga barangan.

Sambil menyatakan ia adalah belanjawan terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, Najib dengan penuh yakin meramalkan negara akan menyaksikan enam lagi belanjawan yang akan dibentangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Bekas Pembantu Menteri Sabah Cedera Kemalangan

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

Artikel Lain