suria

Beberapa Stesen Minyak Kehabisan Bekalan Diesel Di lembah Klang, Johor Dan NS

KUALA LUMPUR: Bekalan diesel dilaporkan terjejas di beberapa stesen minyak sekitar Lembah Klang, Johor dan Negeri Sembilan berikutan kehabisan kuota bahan bakar itu untuk bulan ini.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Stesen Minyak, Datuk Hashim Othman berkata anggota persatuan di kawasan terjejas memaklumkan kepada pihaknya tentang ketiadaan bekalan diesel itu sejak petang semalam.

"Namun bekalan di stesen minyak di sepanjang lebuh raya mencukupi," katanya kepada Bernama, pada Khamis.

Beliau menegaskan situasi itu tidak ada kena mengena dengan pembelian panik oleh pengguna terutama menjelang pembentangan Belanjawan 2013 esok.

"Kehabisan kuota lebih awal pada bulan ini (hari ini baru 27 Sept) mungkin disebabkan kuota tidak cukup atau mungkin juga berlaku ketirisan dan ia tiada kaitan dengab Belanjawan," katanya.

Hashim berkata kuota diesel yang diperuntukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kepada pengusaha stesen minyak adalah berbeza mengikut penggunaan pada setiap bulan.

Bagaimanapun, katanya, pengusaha stesen minyak perlu mengemukakan permohonan kepada KPDNKK sekiranya kuota yang diberikan telah habis. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain