suria

Projek Rapid Pengerang Dapat Kelulusan EIA - Pengarah JAS Johor

JOHOR BAHARU: Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di kawasan seluas 2,600 hektar di Pengerang, Kota Tinggi bawah kendalian Petronas mendapat kelulusan Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Mokhtar Abdul Majid berkata Laporan EIA berhubung projek itu telah dikemukakan kepada JAS Putrajaya pada 4 Jun lepas dan diluluskan 27 Ogos lepas.

""Laporan EIA terperinci yang disediakan jururunding EIA yang berdaftar dengan JAS bagi cadangan projek ini, telahpun diluluskan setelah ia memenuhi kehendak Seksyen 34A (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Kelulusan diberikan setelah meneliti pelbagai skop kajian yang dijalankan termasuk kualiti udara, air, proses petrokimia dan penapisan minyak selain analisa risiko dan kesihatan awam, kesan trafik, bunyi bising, sosio ekonomi dan penilaian ekonomi terhadap kesan alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Malah, beliau berkata laporan itu juga telah dikaji bersama input daripada agensi berkaitan dan pakar pengulas individu yang dilantik JAS semasa Mesyuarat Panel Pengulas pada Julai lepas, sebelum ia diluluskan.

Berhubung isu ketiadaan masa mencukupi memberikan ulasan mengenai projek berkenaan seperti yang dibangkitkan pembangkang, Mokhtar berkata Laporan EIA terperinci mengenai cadangan projek itu telahpun dipamerkan bermula 9 Jun sehingga 21 Julai lepas.

"Ia melebihi dua minggu dari tempoh pameran yang ditetapkan iaitu 30 hari di 11 pusat pameran dan 15 pejabat JAS negeri di seluruh negara. Malah laporan terperinci mengenainya juga boleh dimuat turun dan dibaca keseluruhannya di laman web JAS pada 1 Julai hingga 28 Ogos lepas. "Setiap warga Malaysia walau di mana jua berada boleh mengakses serta memberi komen dan dalam hal ini, JAS telah memberikan masa yang mencukupi, tempat dan kaedah mengakses laporan EIA terperinci mengenai projek ini secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata isu ketiadaan zon penampan mencukupi seperti disyaratkan untuk kelulusan EIA juga tidak timbul kerana Petronas menyediakan zon penampan terdiri daripada kawasan hijau dan zon penampan 500 meter dalam kawasan tapak projek Rapid.

Katanya ia menepati perkara yang disyaratkan dalam kelulusan Laporan EIA untuk projek itu dan Petronas juga tidak dibenarkan menjalankan proses industri dalam kawasan hijau dan zon penampan 500 meter dalam kawasan tapak projek.

Mengulas isu penduduk setempat akan menghadapi masalah pelepasan kualiti udara, air dan gas tidak mengikut piawaian antarabangsa seperti dibangkitkan badan bukan kerajaan (NGO) Taiwan yang membuat demonstrasi di Pengerang, Mokhtar berkata ramalan kesan alam sekitar berhubung projek itu telahpun dijalankan secara komprehensif. "Laporan EIA merumuskan bahawa ramalan impak tersebut boleh dikurangkan dan dikawal dengan berkesan dengan pelaksanaan langkah kawalan secukupnya serta efektif termasuklah amalan teknologi dan amalan terbaik pengurusan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata pemasangan alat kawalan pencemaran berkesan berdasarkan 'Best Available Control Technology' (BACT) serta pemantauan melalui Sistem Pemantauan Pelepasan Berterusan adalah merupakan langkah yang boleh mengatasi kesan pencemaran udara.

Katanya syarat kelulusan EIA yang dikeluarkan oleh JAS bagi projek itu adalah setara dengan standard antarabangsa dan 'Best Available Technology' (BAT). -BERNAMA

Artikel Lain