suria

Polis Tahan 35 Penagih Dadah Dalam Ops Tapis

KUANTAN: Polis menahan 35 lelaki dalam Ops Tapis selepas didapati terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang, Supt Yap Thoon Khuan berkata dalam operasi bermula pukul 2 petang semalam sehingga 8 malam tadi, semua yang ditahan itu berusia antara 16 dan 45 tahun.

"Dalam Ops Tapis yang diadakan di Kampung Pantai Balok dan Tanjung Lumpur, Kuantan semalam, kita memeriksa 85 individu dan 35 daripadanya didapati positif dadah," katanya di sini, Khamis.

Operasi berkenaan diketuai Insp Arman Ibrahim daripada Cawangan Risikan, Operasi dan Tahanan jabatan itu, bersama dua pegawai dan 35 anggota.

Kesemua penagih terbabit kini ditahan reman di lokap Balai Polis Kuantan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1982, Seksyen 15 (1)(a), Seksyen 39 A(2) dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952. -BERNAMA

Artikel Lain