suria

Polis, SPRM Tidak Terima Aduan Siasat Kes Skandal Copgate - Nazri

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menerima sebarang aduan atau laporan dari mana-mana pihak untuk menjalankan siasatan ke atas dakwaan berkaitan hubungan bekas ketua polis negara dengan tokoh kongsi gelap.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata setakat ini, tidak ada sebarang laporan diterima berhubung pendedahan bekas pegawai kanan polis Datuk Ramli Yusuff berkaitan Tan Sri Musa Hasan, yang didakwa pernah berhubung dengan tokoh kongsi gelap Goh Cheng Poh dan BK Tan, semasa Musa masih berkhidmat dengan PDRM.

"Kedudukannya sama bagi SPRM, iaitu tiada sebarang aduan diterima, maka tiada sebarang siasatan dijalankan terhadap pendedahan yang dilaporkan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) berhubung dakwaan skandal yang popular dengan jolokan 'copgate' itu di Dewan Rakyat pada Khamis.

Bagaimanapun, Nazri berkata jika terdapat sebarang laporan atau aduan berhubung perkara itu, agensi penguatkuasaan undang-undang akan menjalankan siasatan sewajarnya mengikut peruntukan dan kuasa undang-undang yang diberikan.

Beliau berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Mac lepas menolak penubuhan jawatankuasa siasatan kerana tidak ada bukti kukuh dikemukakan bagi menyiasat dakwaan itu. -BERNAMA

Artikel Lain