suria

Peniaga Alatan Kawalan Keselamatan Rentung Dalam Kemalangan

MELAKA: Seorang peniaga peralatan sistem kawalan keselamatan rentung dalam kebakaran selepas kereta yang dipandunya melanggar pokok di hadapan stesen Petronas Cheng Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di sini, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata mangsa, Chan Yan Seng, 32, dari Taman Melaka Perdana Alor Gajah di sini maut di tempat kejadian setelah badannya terbakar 100 peratus dalam kemalangan jam 4.30 pagi.

"Kereta mangsa yang datang dari arah lampu isyarat Cheng Perdana menghala ke lampu isyarat Bertam Ulu Lebuh AMJ dipercayai terbabas apabila tiba di lokasi kejadian sebelum melanggar sebatang pokok di bahu jalan sebelah kiri," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata pelanggaran tersebut menyebabkan kenderaan mangsa terbakar.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Kanan II Balai Tangga Batu, Mazlan Samah berkata pihaknya datang membantu memadam kebakaran melibatkan satu jentera dan lima anggota dari balai berkenaan, sebaik menerima panggilan. Beliau berkata sebaik tiba di lokasi kejadian api dalam keadaan marak dan mangsa bersama kereta telah terbakar sepenuhnya sebelum kebakaran dapat dikawal jam 4.45 pagi dan padam sepenuhnya satu jam 45 minit kemudian.

"Siasatan awal mempercayai kebakaran berpunca dari percikan api akibat pelanggaran kereta tersebut dengan pokok. Mangsa juga dipercayai tersepit di tempat duduk akibat bahagian hadapan kereta tersebut remuk teruk," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Chan Chee Keong, 58, berkata dia dan keluarga mendapat maklumat berhubung kejadian menimpa anaknya itu jam 6 pagi melalui anggota polis yang datang ke rumah.

"Kami berasa amat terkejut kerana mangsa sentiasa melakukan pemeriksaan berkala pada keretanya," kata beliau.

Beliau berkata kejadian itu juga turut mengejutkan isterinya, Soo Yen Ling, 29, yang kini hamil enam bulan anak keenam mereka.

Katanya mangsa yang sebelum ini turut menjual TV litar tertutup (CCTV) di rumahnya sepatutnya membuka kedai sendiri pada 6 Oktober depan. -BERNAMA

Artikel Lain