suria

Ops Selamat Berjaya Turun Kadar Kemalangan & Pecah Rumah

KUALA LUMPUR: Ops Selamat Aidilfitri 2012 berjaya menurunkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 1,669 kes atau 8.5 peratus berbanding tahun lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata semasa Ops Sikap Aidilfitri 2011, kes kemalangan yang dicatat ialah 19,606 dan tahun ini jumlah itu menurun kepada 17,937.

Bagi kes kemalangan maut di jalan raya, jumlah dicatat menunjukkan penurunan sebanyak 15.9 peratus iaitu 243 kes tahun ini berbanding 289 kemalangan dilaporkan dalam Ops Sikap tahun lepas, katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Ops Selamat turut memastikan keselamatan harta benda khususnya rumah-rumah yang ditinggalkan semasa musim perayaan dan jumlahnya mencatat pengurangan sebanyak 17 peratus atau 1,029 daripada 1,246 kes yang dilaporkan tahun lepas.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) mengenai Ops Selamat sepanjang musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini dari 12 hingga 26 Ogos, dalam meminimumkan kadar kemalangan jalan raya di seluruh negara Beliau berkata usaha ini dicapai dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) serta agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Beliau berkata faktor kejayaan itu juga kerana peningkatan kekerapan rondaan polis sepanjang Ops Selamat di kawasan perumahan, selain usaha polis menyediakan pelbagai kemudahan kepada penduduk untuk memaklumkan ketiadaan mereka di rumah masing-masing yang memudahkan rondaan dijalankan.

"Antaranya menyebarkan borang balik kampung, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan hotline rakan cops," katanya.

Abu Seman berkata pola kemalangan jalan raya dalam tempoh lima tahun ini tidak menunjukkan perbezaan yang ketara dengan sikap manusia menjadi penyebab utama berlakunya kemalangan.

"Kebanyakannya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain