suria

Kerajaan Sedia Beri Proton RM120 Juta R&D Kereta Hibrid

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia menyalurkan peruntukan RM120 juta kepada Proton Holdings Berhad (Proton) pada tahun depan untuk digunakan dalam program Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) kereta hibrid sebelum ia dikomersilkan menjelang pertengahan 2014.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pertimbangan untuk memberikan peruntukan tambahan bagi membangunkan kereta hibrid adalah relevan kerana industri berkenaan menunjukkan perkembangan positif.

"Kerajaan telah menyediakan peruntukan RM100 juta kepada Proton untuk membangunkan kereta hibrid dan elektrik tahun ini dan kerajaan mungkin mempertimbangkan peruntukan RM120 juta untuk digunakan dalam program R&D bagi tahun hadapan."

"Namun, semua bergantung kepada Belanjawan yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) esok dan bergantung kepada Proton dalam menepati Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang ditetapkan," katanya di Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Salleh Kalbi (Barisan Nasional-Silam) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang memberikan peruntukan secara tetap dalam R&D membangunkan kereta hibrid atau elektrik.

Mustapa berkata industri automotif begitu penting kepada negara kerana ia menyediakan kira-kira 250,000 peluang daripada 1.0 juta pekerjaan dalam industri automotif.

Justeru, katanya adalah wajar kerajaan memberikan peruntukan secara tetap seperti yang dilakukan oleh negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Jepun memandangkan industri kereta hibrid mampu berjaya pada masa hadapan.

Terdahulu, semasa menjawab soalan asal dari Azmin Ali (PKR-Gombak), beliau berkata bagi usaha-usaha R&D berkaitan dengan kenderaan berteknologi hijau, Proton akan membelanjakan kira-kira RM500 juta.

Azmin bertanya mengenai rasional pelaburan Proton melalui Frazer-Nash Research (FNR) untuk membangunkan "kenderaan elektrik" (EV) atau kereta hibrid dan implikasi kewangan dan pulangan kepada pelaburan itu. Mustapa berkata Proton menyasarkan pulangan kewangan yang sejajar dengan pasaran apabila EV dan 'Range Extended Electric Vehicle' (REEV) dikomersilkan dua tahun lagi.

"Keadaan pasaran automotif yang semakin mencabar dengan tekanan dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan pengurangan pelepasan asap kenderaan bagi pemuliharaan alam sekitar menjadikan semua syarikat automotif untuk menerokai teknologi hijau," katanya.

Beliau berkata Proton perlu mengeluarkan kenderaan mesra alam untuk memenuhi pasaran akan datang.

"Proton mempunyai peluang yang sama rata. Persaingan dalam industri automotif tidak hanya membabitkan produk dan reka bentuk, malah hak intelek dan teknologi hijau," katanya.

Sementara itu, Mustapa menjelaskan kerjasama R&D dilakukan bersama FNR kerana syarikat milik persendirian itu merupakan firma R&D yang mempunyai kemahiran khusus dalam bidang tenaga alternatif terutamanya untuk kegunaan kenderaan.

"FNR yang berpangkalan di United Kingdom dikenali ramai kerana telah mencapai satu kemajuan besar dalam bidang teknologi sistem bateri dan tenaga solar atau fotovoltaik," katanya.

Mustapa berkata perbincangan dengan beberapa syarikat lain telah diadakan tetapi ia terbantut disebabkan beberapa masalah seperti hak milik harta intelek dan royalti tinggi.

Beliau berkata sebelum melaksanakan R&D bersama FNR, Proton tidak mempunyai kemahiran yang khusus dalam bidang kenderaan berteknologi hijau.

"Namun, setelah empat tahun bekerjasama dengan FNR, Proton kini mempunyai 40 tenaga profesional dan 30 separa profesional dalam bidang berkaitan. "Pada 2010 dan 2011 juga, Proton mendapat tempat pertama dalam saingan kereta masa depan pada "Cabaran Britain-London" di mana ia bersaing dengan 70 kereta lain dari jenama ternama di seluruh dunia," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain