suria

Kerajaan Perlu Tegas Tuntutan Dong Zong Yang Bertentangan Dengan Perlembagaan - Perkasa

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mahu kerajaan bertegas dan tidak melayan tuntutan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah China (Dong Zong) yang didakwa bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan Kasim berkata ada perkara yang dituntut oleh Dong Zong tidak munasabah dan seolah-olah ingin 'mengugut' kerajaan terutamanya ketika tiba musim pilihan raya.

"Antara perkara yang dituntut oleh Dong Zong adalah memberikan pengecualian kepada pelajar Lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

"Ini satu tuntutan yang tidak masuk akal kerana syarat untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia adalah lulus Bahasa Malaysia untuk membolehkan mereka lulus SPM," katanya kepada pemberita di Grand Seasons Avenue pada Khamis.

Beliau berkata, perkara yang dituntut oleh Dong Zong itu sangat bertentangan dengan Perlembagaan terutamanya Perkara 152 dan 153 serta Dasar Pendidikan Kebangsaan.

"Ini akan mengurangkan asimilasi kaum, tidak berupaya berbahasa Melayu dengan baik serta sikap perkauman akan lebih menebal dalam diri mereka.

"Saya tidak fikir kerajaan mengabaikan sekolah persendirian Cina kerana banyak peruntukan telah diberikan kepada mereka untuk membina sekolah persendirian itu walaupun kurikulum yang digunakan tidak langsung mengikut silibus sekolah rendah mahupun menengah di negara ini," katanya.

Jelasnya, sikap Dong Zong tidak mencerminkan hasrat kerajaan yang mahu memupuk perpaduan kaum dan semangat 1Malaysia yang cuba diterapkan sejak selepas kemerdekaan lagi.

"Justeru, kita harap kerajaan perlu lebih tegas dan tidak melayan tuntutan Dong Zong yang remeh-temeh terutamanya perkara yang kita lihat bertentangan dengan Perlembagaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

"Perpaduan perlu dipupuk kerana Malaysia merupakan negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum. Cadangan sekolah wawasan juga mereka tolak mereka ini sememangnya tidak mahukan perpaduan wujud.

"Jadi kita minta kerajaan meneliti dengan lebih mendalam tuntutan-tuntutan yang tidak wajar ini," katanya.

Pada Rabu, Dong Zong menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bagi mengatasi masalah yang mereka hadapi terutama masalah kekurangan guru dan penempatan guru tidak berkelayakan bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Antara tuntutan lain yang dikemukakan adalah meminta peruntukkan penubuhan sekolah persendirian Cina di Kuantan serta pendaftaran jawatankuasa pengelola sekolah dengan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN).

Artikel Lain