suria

Kementerian Siasat Soalan Bersih 3.0 Dalam Percubaan SPM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memandang serius berhubung dakwaan soalan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikatakan mengandungi soalan berkaitan perhimpunan Bersih 3.0.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan berkenaan namun mengesahkan masih belum menerima sebarang laporan atau bukti dikemukakan berhubung perkara itu.

"Soalan percubaan SPM tidak dibuat oleh kementerian, sebaliknya oleh Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau pihak sekolah sendiri. Hanya soalan SPM sebenar saja yang pihak kementerian buat.

"Semua pihak boleh membuat dakwaan dan menyebarkannya di internet tetapi kesahihannya masih belum diketahui," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, di sini, Khamis.

Baru-baru ini tersebar di internet termasuk laman Facebook mengenai soalan percubaan SPM yang mempunyai soalan berhubung perhimpunan Bersih 3.0.

Soalan yang dipercayai subjek pendidikan moral itu juga mengandungi dua gambar ketika berlakunya perhimpunan berkenaan pada 28 April lalu.

Dengan merujuk kepada gambar yang diberi, soalan itu bertulis ''Adakah wajar atau tidak bagi seseorang warganegara itu untuk menyertai perhimpunan haram?''.

Mengulas lanjut Wee berkata mulai tahun depan, semua soalan peperiksaan percubaan akan dibuat pihak sekolah sendiri bagi mengurangkan bebanan JPN.

"Kita akan seragamkan perkara itu di seluruh negara. Jadi, pihak sekolah akan bertanggungjawab terhadap soalan yang dirangka mereka, " katanya.

Artikel Lain