suria

Isu Air: Muhyiddin Sedia Berbincang Dengan Kerajaan Selangor

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyatakan kesediaannya untuk berbincang dengan kerajaan negeri Selangor berhubung isu air.

"Jika perlu kita akan duduk berbincang, tidak ada masalah, yang pentingnya nak menyelesaikan isu itu (isu air)," katanya mengulas laporan mengenai keputusan mesyuarat Exco kerajaan negeri Selangor baru-baru ini, yang mahu menjemput beliau membincangkan isu itu.

Bercakap kepada pemberita selepas menutup Festival Bahasa dan Sastera 2012 di sini hari ini, Muhyiddin berkata surat yang dikatakan akan dihantar kepada beliau berhubung perkara itu belum diterima dan beliau hanya mengetahuinya melalui media.

Katanya sebelum ini beliau telah memaklumkan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa sekiranya beliau berhajat untuk berbincang, sudah ada jawatankuasa di peringkat Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dan negeri yang telah ditubuhkan.

"Beliau boleh proceed dengan itu, dan mereka boleh laporkan kepada saya, pendirian kerajaan Pusat telah jelas," katanya. Muhyiddin berkata yang penting ialah isu pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat atau Langat 2, yang jika projek itu tidak diteruskan dalam tempoh sekarang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menghadapi krisis bekalan air yang teruk.

Katanya kerajaan Pusat tidak menyekat cadangan pihak kerajaan negeri untuk mengambialih semua syarikat konsesi atas pendekatan yang dikatakan holistik.

Bagaimanapun, katanya, projek Langat 2 tidak boleh diketepikan dan perkara itu telah disampaikan oleh beliau kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

"Saya kata kepada beliau, dia adalah Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, patut dia memberikan nasihat yang betul dan saya meminta kerajaan Negeri Selangor bertindak secara positif iaitu projek itu hendaklah diteruskan, kebenaran dari segi pembangunan iaitu 'development order' mesti dikeluarkan, supaya kerjanya dapat dilaksanakan.

"Saya sebutkan ini bukan soal politik tetapi soal kepentingan rakyat dan jika kita tak buat perkara itu, rakyat akan marah...yang penting kita selesaikan masalah itu," katanya.

Ditanya mengenai maklum balas Anwar berhubung perkara itu, Muhyiddin berkata penasihat PKR itu memberitahu akan memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar Selangor. -BERNAMA

Artikel Lain