suria

Cederakan Lelaki: Penjaga Parkir Dipenjara Tiga Tahun

KUALA LUMPUR: Seorang penjaga parkir dipenjara tiga tahun dan dikenakan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang lelaki dengan menggunakan sebatang besi, dua minggu lepas.

Hakim Azwarnida Affandi memerintahkan Lee See Leong, 47, menjalani hukuman penjara itu berkuatkuasa hari ini.

Lee didakwa mencederakan Teoh Sueh Lung, 40, yang bekerja sendiri, secara memukul kepala mangsa menggunakan sebatang besi di tepi Jalan Alor Bukit Bintang di sini pukul 8 malam 14 September lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Mengikut fakta kes, Teoh sedang berjalan seorang diri, apabila dia didatangi Lee dari arah belakang sebelum dipukul di kepala menggunakan sebatang besi yang menyebabkannya pening dan terjatuh. Akibat pukulan itu, Teoh menerima tujuh jahitan di kepalanya.

Lee bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merompak wang tunai RM1,000 milik Teoh sehingga mendatangkan kecederaan kepadanya pada masa, tarikh dan tempat sama.

Bagi kesalahan itu, Lee didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Hakim Azwarnida belum menetapkan tarikh untuk sebutan bagi pertuduhan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Dalira Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA

Artikel Lain