suria

Bekas Pekerja Kilang Dilepas Dan Dibebas Daripada Tuduhan Bunuh

BUTTERWORTH: Seorang bekas pekerja kilang dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan melakukan pembunuhan secara tidak sengaja hingga menyebabkan kematian seorang lelaki India, M. Chandra Segaran, (berusia 41 tahun ketika kejadian) dua tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.

Tertuduh J. Anbu Selvaa, 25, dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah kedai kopi di Simpang Tiga, Tasek Gelugor pukul 6.30 petang 16 Mei 2010.

Anbu Selvaa dituduh di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam bela Simon Murali dan Sukhindarpal Singh, manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhafizah Haron.

Keputusan pembebasan Anbu Selvaa itu disambut gembira oleh ahli keluarganya yang menunggu sejak awal pagi di perkarangan mahkamah.

Abangnya J.Thinakaran,34, yang ditemui pemberita berkata mereka sekeluarga memang yakin bahawa Anbu Selvaa tidak bersalah kerana dia bertindak mempertahankan dirinya semasa diserang oleh si mati dan adiknya ketika kejadian dua tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain