suria

Bajet Pembangkang Tidak Lindungi Kaum Tertentu

KUALA LUMPUR: Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2013 yang dibentangkan pada Rabu mengandungi peruntukan tindakan afirmatif yang tidak akan melindungi etnik tertentu, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan tema, 'Ekonomi Rakyat Negara Berkat', Anwar berkata bajet alternatif yang dibentangkan itu memberi tumpuan kepada usaha menghapuskan ketirisan dalam pendapatan negara sekaligus dapat meningatkan taraf hidup rakyat.

"Kita mahu pemberian tender diberikan secara terbuka kerana monopoli akan menyebabkan ekonomi negara tidak berkembang dengan mapan.

"Justeru, Pakatan Rakyat yakin perubahan struktur ekonomi dengan memansuhkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kerajaan mengambilalih semua kepentingannya melalui Khazanah Nasional," katanya pada sesi taklimat Belanjawan Pakatan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Rabu.

Selain itu, Pakatan Rakyat mahu mewujudkan syarikat minyak dan gas yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri yang mempunyai sumber tersebut seperti Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, penubuhan syarikat berasaskan minyak dan gas tersebut dapat memberi sumber kewangan secara terus kepada kerajaan negeri untuk mempercepatkan pembangunan negeri-negeri berkenaan.

"Tindakan itu diambil ekoran pengalaman mentadbir negeri-negeri Pakatan Rakyat. Negara mesti bergerak ke fasa baru kerana dasar bumiputera telah disalah guna beberapa pihak untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

"Sokongan kepada golongan yang memerlukan melalui tindakan afirmatif akan diteruskan tetapi tidak perlu berdasarkan etnik untuk membantu golongan miskin," katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata tindakan tersebut diambil daripada kejayaan pentadbiran kerajaan negeri di Selangor dan Pulau Pinang.

"Dasar seperti skim mikro kredit tidak berasaskan kaum, tetapi sebahagian besar bumiputera menerima manfaatnya.

"Ini bermaksud, kaum India yang layak juga akan dibantu, dan ini tidak merompak hak orang Melayu," katanya.

Selain itu, Anwar berkata Pakatan Rakyat mahu mewujudkan Caruman Wanita Nasional yang menyediakan insuran dan skim takaful kepada penyumbang selain daripada simpanan tetap yang dibuat.

Hasil daripada pelaburan itu akan diasingkan untuk menaja program wanita.

"Kita turut tidak menolak ketepi kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak sekiranya kita berjaya membentuk kerajaan kita akan membina Lebuhraya Pan Borneo bagi menghubungkan kedua-dua negeri di Malaysia Timur seperti yang dicapai pada Deklarasi Kuching.

"Kita juga menetapkan gaji minium pada kadar RM1,100 bagi kerajaan dan swasta sekaligus membantu kira-kira 300,000 rakyat dengan kadar peningkatan 2 hingga 8 peratus," katanya.

Turut diberi perhatian adalah, meningkatkan pembayaran bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada RM300 kepada RM550 yang akan membantu kira-kira 84,000 isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan RM500 ke bawah.

Artikel Lain