suria

SSM Sedang Lengkapkan Kertas Siasatan Untuk Dakwa Suara Inisiatif

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sedang melengkapkan kertas siasatan bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap Suara Inisiatif Sdn Bhd (SISB) yang dikaitkan dengan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kertas siasatan itu yang sebelum ini diserah kepada Pejabat Peguam Negara, dikembalikan kepada SSM kerana ada maklumat tambahan diperlukan sebelum pendakwaan dapat dilakukan.

"Kita sedang menyediakan maklumat yang dikehendaki dan amat berharap ianya dapat diselesaikan secepat mungkin agar kertas siasatan tersebut dapat diserahkan semula untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau ditemui pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kementerian dan Kementerian Perancangan dan Pelaburan Vietnam bagi membangunkan sektor koperasi.

Vietnam diwakili Timbalan Menterinya Dang Huy Dong.

Pada awal bulan ini, Ismail Sabri dilapor berkata siasatan SSM mendapati ada transaksi dana antara SISB dan Suaram, iaitu badan bukan kerajaan yang mengaku menerima dana asing untuk menjalankan program berkaitan hak asasi manusia.

Menyentuh mengenai MoU tersebut, Ismail Sabri berkata, Vietnam merupakan negara pertama yang bersetuju bekerjasama dengan Malaysia dalam meneroka pembangunan sektor koperasi.

"Pada peringkat awal tiga fokus utama akan dilaksanakan iaitu strategik perniagaan, pertukaran kepakaran serta pembangunan dan penyelidikan," katanya.

Beliau berkata, pihak menyasarkan usaha sama seumpama itu dengan lebih banyak negara anggota Asean seperti Brunei dan Indonesia menjelang akhir tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain