suria

Pelajar Malaysia Cedera Dalam Kemalangan Dilapor Stabil

NEW DELHI: Seorang pelajar Malaysia, Mohamed Mushain Mohd Mashur yang dilaporkan cedera dalam satu kemalangan di Mangalore kini berada dalam keadaan stabil, kata Konsul Pelajaran dan Latihan di Chennai, Annie Sabrina Lasumin.

Beliau berkata pelajar tersebut berkeadaan stabil tetapi kata doktor beliau perlu menjalani satu pembedahan.

Mushain yang berasal dari Pulau Pinang cedera apabila ditimpa seorang wanita yang cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga Kompleks Krishna di Jalan MG, Mangalore, Isnin lepas.

Wanita itu jatuh ke atas pelajar tersebut bersama tiga orang kawannya, Mohammed Shafik Shaffa'ee, Miur Zainul Arif dan Mohammed Nadzrin Shah.

Rangkaian Mangalore Today News melaporkan keempat-empat mereka sedang berjalan menuju ke asrama mereka dari arah gim di Bejai apabila wanita muda itu yang dikatakan mengalami sakit mental sejak tiga tahun lepas dikenali sebagai Vandana Prabhu, 31, jatuh ke atas mereka.

Mushain, yang baru tiba di Mangalore beberapa bulan yang lalu untuk melanjutkan pengajian di bidang perubatan di Kolej Perubatan Kasturba (KMC), mengalami cedera teruk di leher, manakala kawan-kawannya tidak cedera.

"Tulang lehernya patah tetapi dia berkeadaan stabil sementara kedua-dua ibu bapanya berada di sisinya," kata Annie kepada Bernama ketika dihubungi. Beliau berkata rawatan ke atas Mushain ditanggung di bawah perlindungan insurans pelajar sehingga Rs100,000 (RM5,760), selebih dari itu pelajar berkenaan perlu membiayai kosnya.

Bagaimanapun oleh kerana ia suatu kemalangan, kerajaan Malaysia akan turut menanggung kos rawatan, kata Annie. KMC dan pelajar lain di kolej itu juga menyumbangkan bantuan mereka.

"Kolej menanggung perbelanjaan tempat tinggal kedua-dua ibu bapa pelajar berkenaan serta kos pengangkutan mereka di Mangalore. Kedua-dua ibu bapa pelajar itu kini ditempatkan di rumah tetamu kolej," katanya. BERNAMA

Artikel Lain