suria

PDRM Perlu Lakukan Lebih Baik Dari Sekadar Tunjuk Statistik - MCPF

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melakukan lebih dari sekadar menunjukkan statistik dalam isu keselamatan awam, kata Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, ini kerana pemerhatian umum mendapati masyarakat yang menyandarkan persepsi mereka kepada kehidupan seharian, masih ragu-ragu bahawa kes jenayah menurun seperti yang dilapor PDRM.

"Bagi tempoh dua tahun lepas, secara keseluruhan polis mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam menurunkan kadar jenayah, namun statistik yang diberi polis dan pihak berkuasa tidak cukup untuk meyakinkan masyarakat," katanya kepada Bernama, di sini.

Usaha memerangi jenayah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sejak 2010 menunjukkan kadar jenayah di negara ini menurun kepada 11.1 peratus pada 2011 sementara jenayah jalanan pula berkurangan sebanyak 40 peratus.

Statistik PDRM juga mencatatkan untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini, kes jenayah keganasan menurun kepada 12,294 kes berbanding 12,446 bagi tempoh sama tahun lepas, sementara jenayah harta benda pula berkurang daripada 9,287 kepada 9,252.

Usaha Malaysia mengurangkan jenayah mendapat pengiktirafan badan dunia termasuk World Justice Project yang meletakkan Malaysia sebagai negara kelas pertengahan atas ke-19 paling selamat di dunia dalam Rule of Law Index 2011.

Indeks Keamanan Global (GPI) 2011 pula meletakkan Malaysia sebagai negara paling aman di rantau Asia Tenggara dan ke-19 paling selamat daripada 153 negara di dunia.

"Statistik dan laporan ini sememangnya menggalakkan hasil usaha yang dilakukan pihak berkuasa, namun ini sekadar permulaan dan komitmen jangka panjang diperlukan untuk memastikan keadaan ini berterusan," katanya.

Beliau berkata, selain memantapkan strategi membanteras dan mencegah jenayah, polis juga harus menumpukan kepada usaha meningkatkan hubungan dengan orang ramai menerusi komunikasi dan kerjasama dengan mereka.

Pembabitan setiap segmen masyarakat umum juga penting dalam usaha mengekang perbuatan jenayah pada peringkat akar umbi, kata Lee.

"Saya dapati ada budaya jenayah keganasan sedang muncul dalam masyarakat kita, terutama dalam kalangan belia yang menggunakan keganasan sebagai cara menyelesaikan masalah. Mungkin mereka dipengaruhi kemajuan teknologi maklumat dan ini kita perlu teliti," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar kurikulum khas mengenai budaya jenayah dan pencegahannya diperkenal dalam sistem pendidikan negara dan pada masa yang sama masyarakat melihat semula peranan dan tanggungjawab mereka dalam mengekang jenayah.

"Kita perlu mendidik orang awam dan memupuk dalam diri mereka bahawa sebarang bentuk jenayah termasuk rasuah adalah salah dan mempunyai kesan buruk ke atas masyarakat.

"Saya fikir ini cara berkesan untuk kita mencapai satu masyarakat bebas jenayah dalam jangka masa panjang," katanya menambah MCPF juga bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran menubuhkan kelab pencegahan jenayah di sekolah. - BERNAMA

Artikel Lain