suria

Majlis Peguam Cadang Tubuh Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia mencadangkan agar sebuah suruhanjaya tetap dan bebas ditubuhkan untuk menjalankan kajian serta menasihati parlimen berkaitan pembaharuan undang-undang.

Presidennya Lim Chee Wee bagaimanapun berkata suruhanjaya yang ditubuhkan ini perlu terbabit dalam perundingan secara terangkum, terbuka dan telus.

"Anggota suruhanjaya ini boleh diambil daripada kalangan hakim, peguam, ahli akademik dan masyarakat sivil yang berpengetahuan mendalam serta berpengetahuan luas," kata Lim ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia 2012 di sini, Rabu.

Lim berkata suruhanjaya pembaharuan undang-undang ini, yang bertanggungjawab kepada parlimen, boleh dan sewajarnya mendapat bantuan daripada Pusat Kajian Undang-undang dan Perundangan Antarabangsa.

Merujuk kepada hukuman ringan yang dikenakan terhadap dua lelaki yang merogol gadis bawah umur baru-baru ini, beliau berkata kemarahan yang disuarakan banyak pihak berhubung perkara itu menunjukkan perlunya langkah tertentu diambil untuk memberi kefahaman mendalam tentang isu berkenaan.

Sehubungan itu, kata beliau, badan itu menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa kerajaan akan menimbang untuk menubuhkan majlis hukuman bagi memastikan wujudnya ketekalan dalam hukuman yang putuskan oleh mahkamah.

Bercakap pada sidang akhbar kemudian, Lim berkata penerimaan dana asing bukan suatu kesalahan selagi ia mematuhi undang-undang negara.

Malah, kata beliau, Badan Peguam Malaysia juga menerima dana asing untuk projek tertentu. BERNAMA

Artikel Lain