suria

Pro-Aspirasi Menang 150 Kerusi Tanpa Bertanding Di Enam Kampus

PETALING JAYA: Calon Pro-Aspirasi sehingga kini telah memenangi 150 kerusi tanpa bertanding daripada keseluruhan 198 kerusi yang dipertandingkan di enam kampus di seluruh Malaysia setakat jam 2.30 petang Selasa.

Enam kampus tersebut ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Keseluruhannya, 15 buah universiti awam sedang mengadakan pemilihan sepanjang hari ini dan pengundian akan ditutup pada jam 4 petang nanti.

Kemenangan terbaru Aspirasi Mahasiswa di enam buah universiti hari ini menyaksikan penguasaan kerusi bagi kumpulan Pro-Aspirasi berbanding Pro-Mahasiswa yang hanya memenangi tiga kerusi (tanpa bertanding).

Daripada enam kampus tersebut, UTM menawarkan paling banyak kerusi iaitu 15 kerusi umum dan 39 kerusi Fakulti, diikuti UPM dengan 47 kerusi, UUM 36 kerusi, UPSI 27 kerusi, UMT 20 kerusi dan UPNM 14 kerusi secara keseluruhan.

"Di UPM dan UTM masing-masing memperlihatkan Pro-Aspirasi menang 30 kerusi tanpa bertanding, di UUM 29 kerusi dan di UPSI sebanyak 23 kerusi.

"Di UMT dan UPNM, Pro-Aspirasi menang 14 kerusi tanpa bertanding," kata sumber kepada mStar Online.

Calon Pro-Mahasiswa yang menang tiga kerusi, masing-masing di UPSI, UMT dan UTM.

Khamis lalu, lima universiti yang mengadakan pilihan raya kampus adalah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), UTHM, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Aspirasi Mahasiswa menyapu bersih kesemua kerusi yang dipertandingkan di UiTM (50 kerusi), UniMAP (31), UTeM (28) dan UniSZA (24).

Artikel Lain