suria

PKFZ: Dr Ling Cuba Elak Jawab Soalan, Kata Pendakwa

KUALA LUMPUR: Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, yang mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan kes Tun Dr Ling Liong Sik, pada Isnin mendakwa bekas Menteri Pengangkutan itu cuba mengelak daripada menjawab soalan.

Terdahulu, beliau menggesa Dr Ling, yang diperintah membela diri berhubung dakwaan menipu kerajaan Malaysia melibatkan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), supaya menjawab soalan dan bukannya memberi penjelasan berhubung perkara yang tidak berkaitan dengan kes itu.

Pada awalnya, Tun Abdul Majid menyoal balas tertuduh sama ada dia mengetahui atau tidak kadar faedah yang dilampirkan bersama surat bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) OC Phang.

Bagaimanapun, Dr Ling tidak menjawab soalan itu sebaliknya cuba membaca kembali kandungan surat tersebut dan menghuraikannya sehingga Tun Abdul Majid berkata "jangan cuba mengelak."

Dr Ling kemudian menyoal siapa yang Tun Abdul Majid maksudkan 'cuba mengelak' dan keadaan mula menjadi tegang dengan pelbagai pertikaian tercetus antara mereka sehingga Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmadi Asnawi terpaksa meminta peguam Wong Kian Kheong menasihati anak guammya.

Prosiding dihentikan kira-kira 15 minit untuk membolehkan Wong berbuat demikian namun ketegangan antara tertuduh dan Tun Abdul Majid masih berlaku pada sesi selepas itu apabila Dr Ling mempersoalkan cara pendakwaan menyoalnya.

"Adalah menjadi tugas saya untuk menyoal kamu sebagai tertuduh, dan kamu boleh memberi penjelasan lanjut ketika pemeriksaan semula," kata Tun Abdul Majid.

Dr Ling, 68, didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan dia tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas, Dr Ling berkata, dia beranggapan kadar faedah 7.5 peratus adalah mengikut kelulusan JPPH dan ia disediakan anggota jawatankuasa kementeriannya.

Tertuduh berkata, dia tidak tahu lampiran yang dihantar kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung penilaian tanah adalah tidak mengikut persetujuan JPPH.

Dr Ling juga berkata, dia tidak ingat isi kandungan beberapa dokumen berkaitan pengambilan tanah di Pulau Indah dan surat berhubung projek PKFZ yang ditandatanganinya.

Perbicaraan disambung pada Selasa. - BERNAMA

Artikel Lain