suria

Pemandu Lori Didakwa Menyamar Sebagai Polis, Merompak Dan Merogol

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori dari Chemor, Perak, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan iaitu menyamar sebagai anggota polis, merompak dan merogol.

A. Sivakumar, 32, dari Anjung Tawas Sinaran, Chemor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan dan Hakim Hassan Abdul Ghani membenarkan dia diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 12 Oktober untuk sebutan kes.

Bagi kesalahan pertama dan kedua, Sivakumar didakwa menyamar sebagai anggota polis dan merompak Firmanshah Nordin, 22, serta seorang gadis berusia 16 tahun di sebuah perhentian bas di Taman Senai Utama sekitar 2 pagi pada 10 September lepas.

Dia juga didakwa merogol gadis itu di sebuah hotel di Kulaijaya pada 3.10 pagi hari yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat manakala Sivakumar diwakili peguam N.Gunalan. - BERNAMA

Artikel Lain