suria

Pelancong Patah Tulang Belakang Cuba Selamat Diri Dalam Kebakaran

KUALA LUMPUR: Seorang pelancong warga Vietnam patah tulang belakang selepas terjun dari tingkat satu ketika cuba menyelamatkan diri dalam satu kebakaran di sebuah hotel di Jalan Changkat, Bukit Bintang di sini pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira 7.10 pagi itu, Do Thanh Trung, 24, yang panik bertindak terjun melalui tingkap belakang sebuah daripada 10 bilik hotel dua tingkat berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata selain Do, tiada mangsa lain yang cedera.

Tujuh penyewa dan dua pekerja berada di hotel itu ketika kejadian yang memusnahkan sebuah daripada bilik tersebut.

"Siasatan mendapati hotel itu mempunyai sistem keselamatan yang lengkap. Mangsa sepatutnya boleh keluar dengan selamat sekiranya beliau mengikuti penghuni lain keluar melalui pintu hadapan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Azizan berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 7.14 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

Operasi memadamkan kebakaran melibatkan empat jentera bomba bersama 31 anggota dari Balai Hang Tuah dan Balai Pudu. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat. - BERNAMA

Artikel Lain