suria

Pelajar Nigeria Didakwa Miliki 99 Keping Wang Kertas Palsu

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin terhadap pertuduhan memiliki 99 keping wang kertas palsu berjumlah US$9,900, awal bulan lepas.

Ofili Daniel Chukwuka, 37, didakwa memiliki wang kertas US$100 yang kesemuanya berjumlah US$9,900 yang didapati palsu di Blok C-6-5F Faberia Condo, Jalan Desa Utama, di sini pada 12 tengah hari, 3 Sept lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 489(C) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norasyikin Ahmad menawarkan wang jaminan RM50,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia serta tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis yang berdekatan.

Peguam M. Tharumaratnam yang mewakili tertuduh membantah jaminan itu atas alasan jumlah yang terlibat hanya hampir RM30,000 jika ditukarkan kepada mata wang Malaysia.

Hakim Mahmud Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM45,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dan dia juga perlu melaporkan diri dua minggu sekali di balai polis berdekatan.

Beliau menetapkan 24 Okt untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan itu. -BERNAMA

Artikel Lain