suria

MRCA Minta Kerajaan Perkenal Elaun Ubah Suai Dalam Bajet 2013

PETALING JAYA: Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) meminta kerajaan memperkenal elaun ubah suai dalam Bajet 2013 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Presidennya, Datuk Nelson Kwok, berkata elaun itu boleh membantu mengurangkan beban pengusaha pusat beli belah yang perlu terus menaik taraf premis mereka "agar terus mengikut peredaran masa".

"Bagi setiap dua hingga tiga tahun, peruncit perlu mengubah suai kedai mereka untuk menarik pelanggan dan pelancong.

"Kerja-kerja ubah suai bagi setiap kedai akan menelan kos kira-kira RM10,000 hingga RM50,000, bergantung kepada saiz dan lokasi pusat beli belah itu," katanya pada satu sidang media.

Mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Kwok mencadangkan supaya GST dipungut bagi hanya barangan dan perkhidmatan tertentu dan daripada orang yang berada dalam golongan cukai terpilih.

"GST tidak harus dipungut bagi barangan keperluan seperti beras dan gula. Satu mekanisma tertentu mesti diadakan untuk memastikan bahawa golongan berpendapatan rendah tidak akan terjejas teruk oleh cukai itu," katanya.

Kwok berkata beliau berharap GST akan dilaksanakan dalam masa dua tahun lagi untuk memastikan pengguna dan syarikat benar-benar memahami sistem cukai baharu itu.

Mengenai perkara lain, Kwok berkata MRCA akan menghantar 29 anggota perwakilan yang diketuai oleh beliau sendiri dalam satu lawatan perniagaan selama lima hari ke Kemboja dan Vietnam mulai 1 Okt untuk meneroka peluang-peluang perniagaan di kedua-dua negara Indo China itu.

"Persatuan kami menggalakkan usahawan tempatan melabur dan membawa syarikat mereka ke peringkat global kerana ini akan membolehkan peruncit Malaysia meningkatkan lagi eksport industri kita," katanya. BERNAMA

Artikel Lain