suria

Isu Tanah Pegerang: Azalina Cabar Salahuddin Berdebat

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman mencabar Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub untuk berdebat ekoran dakwaan pemimpin PAS itu bahawa nilai pampasan terhadap pengambilan tanah penduduk kampung di Pengerang hanya RM2.80, sedangkan harga sebenar ialah RM8 sekaki persegi.

Azalina turut membidas badan bukan kerajaan (NGO) dari Pengerang yang mengatakan kawasan pembangunan projek Komples Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC) akan memberi kesan kepada alam sekitar dan menjejaskan sumber mata pencarian ekonomi penduduk.

"Itu semua dakwaan rambang dan rumusan secara menyeluruh. Harga pampasan tanah RM2.80 adalah untuk kawasan tanah yang jauh dari jalan utama, sedangkan kerajaan menilai bukan setakat tanah, tapi turut menilai bangunan, termasuk tanaman di atas tanah itu.

"Setakat ini jumlah tertinggi yang diberikan ialah RM8 sekaki persegi," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen, Selasa. Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Pengerang itu, berkata berdasarkan taklimat Johor Petroleum Developement Corporation (JPDC), fasa pertama untuk pemindahan penduduk di 10 kampung tradisi di Pengerang telah menyaksikan 179 borang H diserah tanpa sebarang bantahan.

"Daripada jumlah itu, 70 menerima tanpa bantahan, dan 109 menerima dengan syarat. Tiada yang menolak," katanya sambil menafikan dakwaan Salahuddin yang mengatakan ada penduduk yang menolak pengambilan tanah itu.

Ditanya kenapa lokasi kampung itu dipilih, Azalina berkata ini kerana ia merupakan laluan utama kapal-kapal dagang yang menggunakan laluan itu untuk ke China.

"Ia kawasan laluan beratus kapal dagang, perkara ini sudah 10 hingga 15 tahun berlaku. Bercakap tentang pencemaran, kawasan itu bukan tumpuan pelancongan.

"Kawasan pelancongan di sebelah bahagian Desaru dan Sebana," katanya.

Salahuddin sebelum itu mengadakan sidang akhbar bersama sebuah NGO di lobi Parlimen mengenai isu tanah itu sebelum Azalina membidasnya di satu sidang akhbar lain. BERNAMA

Artikel Lain