suria

Ngeh Nafi Keluar Kenyataan Terbaru Di Twitter Selepas Mohon Maaf

IPOH: Selepas memohon maaf berhubung kenyataan yang mempertikai bantahan umat Islam terhadap filem 'Innocence of Muslims', Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menafikan ada mengeluarkan tweet terbarunya di laman sosial itu.

Bagaimanapun, beliau dilihat seolah-olah berdolak-dalih berhubung tindakan berkenaan apabila mendakwa kenyataan terbaru di laman itu merupakan "tweet record" sebelum beliau membuat permohonan maaf berkenaan.

"Lepas saya minta maaf saya tidak ada tweet lagi, itu 'tweet record' saya sebelum saya minta maaf, ini dia (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) kitar semula yang lama punya tweet," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Perak di sini, Ahad.

Pada Jumaat lepas, Zambry membidas Ngeh kerana tetap mengkritik Barisan Nasional (BN) dan Umno walaupun memohon maaf terhadap kenyataannya sebelum ini.

Sehari sebelum itu, Ngeh dalam laman twitter membuat kenyataan yang berbunyi "No hope for Umno. Their best brains Zambry & Khairy so low std (standard). People who read my tweet will have only disdain for them" (Tiada harapan buat Umno. Orang mereka sebijak Zambry dan Khairy rendah standardnya. Mereka yang membaca tweet saya hanya akan membenci mereka) walaupun memohon maaf atas kenyataan mempertikai bantahan umat Islam terhadap filem berkenaan.

Ngeh mendakwa Zambry menjadikan kenyataan twitternya itu sebagai satu isu.

Ditanya mengenai anggota DAP di Taman Bintang, Pantai Remis yang keluar daripada parti itu pada Sabtu, beliau berkata, mereka merupakan anggota biasa dan tindakan itu tidak menjejaskan parti.

Seramai 20 anggota DAP di Taman Bintang, Pantai Remis pada Sabtu mengumumkan keluar daripada DAP dan menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Mereka bertindak sedemikian ekoran DAP tidak mengotakan segala janji yang ditabur selama ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain