suria

JPJ Saman 51 Pemilik Kenderaan Guna Cermin Gelap Dalam Ops Padu

JITRA: Penggunaan cermin gelap antara kesalahan paling banyak dilakukan pemilik kenderaan yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)Kedah dalam 'Ops Padu 2012' di Plaza Tol Jitra di sini, malam Ahad.

Operasi bermula pukul 8 malam dan berakhir pukul 12 tengah malam tadi mencatatkan 77 saman dikeluarkan dan 51 daripadanya terhadap pemilik kereta kerana menggunakan cermin gelap yang tidak mematuhi peraturan manakala sembilan kereta dan sebuah motosikal disita.

Pengarah JPJ Kedah, Ahmad Musadad Sulaiman berkata penggunaan cermin gelap oleh pemilik kereta menjadi ikutan ramai sekarang.

"Mereka yang ingin memasang cermin gelap walaupun atas faktor keselamatan atau masalah kesihatan harus merujuk kepada JPJ terlebih dahulu," katanya semasa dihubungi di sini, Isnin.

Mengenai operasi malam tadi, beliau berkata antara kesalahan lain yang dikesan ialah tidak memiliki lesen memandu (16 saman) dan cukai jalan tamat tempoh (12 kes).

Dua wanita dan tiga lelaki yang dalam perjalanan pulang dari negara jiran dan disyaki positif dadah ditahan oleh Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) yang turut serta dalam operasi tersebut, kata Ahmad Musadad.

Katanya Jabatan Imigresen Malaysia Kedah juga menahan dua wanita warga Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah untuk masuk ke negara ini dengan menaiki bas dari Changlun untuk ke ibu negara.

Operasi itu membabitkan 40 anggota JPJ serta 60 anggota AADK Negeri Kedah, Imigresen, Jabatan Alam Sekitar, Plus Expressway Sdn Bhd, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain