suria

ERL Pinjamkan 13 Petugas Kepada Mecca Metro Line Di Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), sebuah syarikat pengendali rel di negara ini diberi kepercayaan meminjamkan 13 petugasnya kepada Mecca Metro Line, di Arab Saudi bagi membantu syarikat tersebut, semasa musim haji kali ini.

Pengerusi Eksekutif ERL, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata, pasukan tersebut merangkumi petugas kanan syarikat dan anak syarikatnya, ERL Maintenance Support Sdn Bhd (E-Mas) yang mempunyai lebih 10 tahun pengalaman.

Mereka dipinjamkan sebagai Penolong Ketua Stesen dan Pakar Latihan Operasi sehingga November depan.

Katanya, kerjasama ini membuktikan bahawa ERL antara syarikat bertaraf dunia dan peluang bekerja dengan Mecca Metro Line merupakan platform untuk petugas menimba pengalaman yang sangat bernilai.

"Ditubuhkan hanya atas asas pemindahan teknologi, kita begitu berjaya membina kepakaran dalam perkhidmatan rel dan hari ini, kita dapat bekerjasama dengan pemimpin industri terkenal di dunia dan menyediakan perkhidmatan kepada pengusaha rel lain di Malaysia dan luar negara," katanya semasa mengucapkan selamat jalan kepada pasukan tersebut yang menaiki KLIA Ekspres untuk berlepas ke Arab Saudi, di sini Isnin.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

Perkhidmatan Mecca Metro Line sejauh 18 kilometer menghubungkan Makkah, Muzdalifah dan Mina dengan kapasiti mengangkut 500,000 jemaah dalam lapan jam.

Syarikat tersebut telah bekerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sejak 2010 dalam pelbagai bidang.

Mohd Nadzmi juga berkata, sejak 10 tahun lalu, ERL dan E-Mas memperoleh pengalaman dan kepakaran yang bernilai serta dapat mengekalkan perkhidmatan cemerlang dengan mencapai prestasi 99.7 peratus kesempurnaan dalam perkhidmatannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain