suria

Dua Lelaki Ditahan Berhubung Kes Larikan Barang Muatan Lori

SHAH ALAM: Dua lelaki yang terbabit mengambil kesempatan melarikan barang muatan sebuah lori yang mengalami kemalangan di Km412 arah utara berhampiran Ulu Bernam, dekat sini, awal pagi Sabtu lepas, berjaya ditahan polis kira-kira 18 jam selepas kejadian.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata kedua-dua lelaki itu yang masing-masing berumur 31 dan 26 tahun ditahan di rumah berasingan di sekitar Hulu Selangor kira-kira pukul 6 petang pada hari yang sama.

Beliau berkata kejadian kecurian itu berlaku semasa pemandu lori berumur 46 tahun yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Hospital Kuala Kubu Baharu oleh orang awam yang juga saksi kemalangan yang berlaku kira-kira 2.15 pagi itu.

Katanya akibat kemalangan itu, lori lima tan yang membawa muatan pelbagai barangan termasuk komputer riba, makanan, barangan kosmetik dan beberapa alat ganti kenderaan kesemuanya bernilai kira-kira RM800,000 turut mengalami kerosakan teruk.

"Akibat kerosakan pada lori berkenaan, orang awam yang melalui laluan lebuh raya itu, berhenti di tepi lebuh raya dan bertindak mencuri dan melarikan barangan muatan dari dalam lori yang bernilai hampir RM800,000," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Tun Hisan berkata berikutan penahanan dua lelaki itu, polis telah menemui semula sebahagian barang muatan lori bernilai kira-kira RM20,000.

Beliau berkata kedua-dua lelaki yang juga positif dadah jenis Syabu itu direman empat hari bermula dari tarikh tangkapan bagi membantu siasatan kes.

"Penahanan mereka adalah hasil maklumat dari orang awam yang menyaksikan kejadian itu, namun kita hanya berjaya menemui sebahagian kecil sahaja barangan dari lori terbabit dan polis percaya lebih ramai orang awam dan pengguna jalan raya yang terlibat dalam kes kecurian ini.

"Oleh itu saya menyeru mereka yang terlibat agar mengembalikan semula barang-barang yang bukan milik mereka ini di mana-mana balai polis berdekatan sebelum sebarang tindakan diambil kerana ini melibatkan kerugian yang besar kepada pemiliknya," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain