suria

Polis Sahkan Tengkorak & Anggota Badan Dijumpai Milik Warga Emas Yang Hilang

PEKAN: Polis mengesahkan tengkorak dan anggota badan yang dijumpai dalam keadaan dikerat di kawasan paya bakau dekat Sungai Miang, di sini Jumaat , adalah warga emas yang dilapor hilang 15 September lepas.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata hasil siasatan polis dan laporan pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati anggota badan dan tengkorak yang dijumpai kira-kira pukul 5 petang semalam adalah Sh Othman Sh Bakar, 72.

"Hasil siasatan terhadap dua suspek yang ditangkap bagi membantu siasatan kes ini membawa kepada penemuan beberapa anggota badan mangsa di KM 15 Kampung Sungai Miang, dekat sini, Jumaat.

"Polis yang meneruskan pencarian sebahagian lagi anggota badan mangsa hari ini turut menemui beberapa lagi barangan milik mangsa iaitu kopiah dan cermin mata," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Bernama sebelum ini melaporkan kehilangan mangsa pada Sabtu lalu selepas menaiki kereta bersama dua lelaki untuk urus niaga berhubung penyewaan sebuah premis perniagaan. Isteri mangsa, Siti Salamah Sheikh Abd Rahman, 63, berkata suaminya tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi selepas keluar bersama dua lelaki berkenaan.

Dalam pada itu polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan adalah samun dan mangsa dipercayai dibunuh pada hari dia dilapor hilang dan mayatnya dicampak di kawasan paya berkenaan.

"Kedua-dua suspek, seorang berbangsa India berumur 26 tahun dan seorang lagi berbangsa Cina, 35 tahun, kini ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain