suria

Dua Unit Rumah Pangsa Di Lorong Syed Putra Kiri Hangus Terbakar

KUALA LUMPUR: Dua unit di bangunan rumah pangsa empat tingkat di Lorong Syed Putra Kiri di Taman Seputeh, di sini hangus terbakar dalam kejadian kira-kira 3 petang Ahad.

Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Hang Tuah Zuhari Shafie berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran di tingkat tiga itu, yang menempatkan 4 unit rumah pangsa.

Ketika kejadian, katanya, penghuni di kedua-dua unit yang bersebelahan itu tiada di kediaman mereka kerana bekerja.

"Kami terima panggilan pada 3.21 petang sebelum jentera pertama tiba 13 minit kemudian. Api dapat dikawal sepenuhnya 15 minit selepas itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Zuhari berkata, 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Pantai dan Taman Desa terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu.

"Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan dijalankan pihak forensik kami. Namun maklumat awal menyatakan terdapat letupan gas," katanya.

Sementara itu, seorang penghuni di tingkat dua, Maimunah Ahmad Aziz, 52, berkata ketika kejadian, beliau dan suaminya sedang menonton televisyen sebelum terdengar bunyi letupan dari atas rumahnya.

"Selepas itu, jiran semua menjerit suruh turun...saya nampak asap tebal dari atas rumah saya," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain