suria

Wanita Umno Perlu Beri Tumpuan Pengundi - Shahrizat

KOTA BAHARU: Wanita Umno diminta memberi perhatian kepada pengundi yang berada berdekatan termasuk anggota keluarga dan rakan sekampung, supaya mereka memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), akan datang.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Wanita Umno juga diminta memberi perhatian kepada golongan muda dengan mendekati mereka bagi memperjelaskan dasar kerajaan dan perjuangan parti supaya mereka turut memberi sokongan kepada BN.

"Saya telah beri arahan kepada wanita dalam kita membuat persiapan jentera (pilihan raya), kita mesti beri perhatian utama kepada pengundi terdekat dengan kita seperti anggota keluarga dan rakan sekampung. Kalau setiap keluarga itu memberi undi kepada BN, kita boleh menang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Salam Sayang Wanita Umno Kelantan, di sini, Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Shahrizat percaya sekiranya pengundi terutama golongan muda mendapat penjelasan secukupnya mengenai dasar kerajaan dan perjuangan parti, mereka akan memberi sokongan ke arah kemenangan BN pada PRU-13. Sementara itu, Mustapa meminta anggota dan pemimpin Umno di negeri ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha BN untuk merampas kembali negeri ini daripada PAS yang memerintah sejak 1990.

Beliau berkata mereka harus mengetepikan perbalahan dan rasa tidak puas hati sesama sendiri kerana perpecahan akan menyebabkan Umno menjadi lemah dan kalah pada pilihan raya.

Katanya rakyat Kelantan kini menunjukkan sokongan kepada Umno dengan mengharapkan perubahan besar dapat dilakukan supaya negeri ini terus maju dan kehidupan mereka lebih baik.

Beliau juga mahukan wanita Umno memainkan peranan sebagai pendamai sekiranya timbul perbalahan di peringkat cawangan atau bahagian. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain