suria

Wanita Penggerak Berkesan Pertumbuhan Global - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata wanita pada hari ini merupakan penggerak berkesan bagi pertumbuhan global selaras dengan peningkatan akses kepada pendidikan dan kuasa beli.

Najib, yang pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata sebagai contoh, Women's Economic Oppurtunity 2012 yang diterbitkan oleh The Economist melaporkan bahawa penglibatan wanita dalam pasaran pekerjaan telah berjaya meningkatkan ekonomi negara membangun pada abad ke-20.

"Malah, penglibatan wanita dalam pasaran pekerjaan telah dilihat sebagai pemangkin ekonomi dan perniagaan," kata Najib dalam ucapannya pada jamuan malam anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO) sempena sambutan Hari Wanita ke-50 di sini, Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Hamimah. Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abd Karim, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Noriah Kasnon dan Yang Dipertua NCWO Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin. Perdana Menteri berkata peranan wanita sebagai modal insan, pemacu ekonomi dan rakan transformasi dilihat sebagai aset penting kepada negara.

Menyedari hakikat itu, beliau berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan pertumbuhan ekonomi seimbang daripada perspektif gender termasuk meluluskan Dasar Sekurang-kurangnya 30 peratus Wanita di Peringkat Pembuat Dasar Keputusan Dalam Sektor Korporat pada 2011.

"Kerajaan juga telah mengubal Peraturan-peraturan Kerja Separuh Masa selain memasukkan peruntukan gangguan seksual di dalam Akta Kerja," katanya.

Najib berkata persekitaran kerja yang mesra wanita dipercayai dapat meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan selaras dengan sasaran 55 peratus penyertaan golongan itu dalam pasaran pekerjaan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah berusaha dengan gigih untuk memastikan wanita dapat bersama-sama berganding bahu dengan golongan lelaki dalam memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara," katanya. Najib berkata perjuangan pemimpin wanita terdahulu yang berjiwa cekal dan tidak mengenal penat telah membolehkan Malaysia mencipta pelbagai kejayaan dalam usaha membangunkan golongan hawa di negara ini.

Dalam pada itu Najib berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan penting untuk melengkapkan usaha kerajaan dalam pembangunan sosial negara, malah ia merupakan rakan kongsi strategik kepada kementerian bagi memastikan pembangunan masyarakat yang progresif dan inklusif. "Kerjasama strategik ini perlu dikekalkan dan marilah kita bersama-sama memastikan agenda pembangunan diarusperdanakan dalam pelbagai bidang pembangunan," katanya. Mengenai sambutan Hari Wanita ke-50, Najib berkata ia merupakan satu pengiktirafan kepada sumbangan wanita dalam pembangunan negara dan berharap ia akan menjadi sumber inspirasi dan menyemarakkan semangat wanita hari ini serta generasi akan datang.

Pada majlis itu Najib dalam teks ucapannya mengumumkan peruntukan RM500,000 kepada NCWO untuk membolehkan NGO itu menjalankan pelbagai aktivi dan programnya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain