suria

Rumah Guru Musnah Dalam Kebakaran

TAWAU: Enam buah rumah guru yang didiami tiga keluarga guru dan enam guru bujang Sekolah Kebangsaan Kalabakan musnah dalam kebakaran awal pagi Jumaat.

Pemangku Ketua Balai Bomba Tawau, Nohaini Jumdani berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 4.21 pagi sebelum menghantar sebuah jentera bomba beserta tujuh anggota yang tiba di lokasi kira-kira jam 5.56 pagi.

"Apabila tiba di tempat kejadian, hampir 90 peratus daripada rumah guru terlibat sudah pun musnah. Api dapat dikawal pada jam 7.15 pagi dan berjaya dipadam sepenuhnya 35 minit kemudian.

Beliau berkata pihak bomba terpaksa mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk tiba di lokasi kejadian kerana jarak antara bandar Tawau dan Kalabakan yang begitu jauh.

Anggota Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh yang tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 7 pagi berkata hasil perbincangannya, pihak Felda bersetuju untuk memberi tempat tinggal sementara kepada guru-guru terlibat.

"Kita bersimpati dengan nasib semua guru yang terlibat dan kita berharap mereka bersabar. Kita berterima kasih dengan pihak Felda di atas keprihatinan mereka," katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Kalabakan.

Abdul Ghapur turut menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada setiap keluarga guru tersebut dan RM500 kepada setiap guru bujang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain