suria

PRU13: BN Kelantan Sudah Siap Sedia Berdepan Pembangkang

BACHOK: Barisan Nasional (BN) Kelantan kini sudah bersedia untuk berdepan parti pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang, kata Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Kita siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sebaik sahaja diumumkan (PRU13) oleh presiden parti," katanya kepada pemberita selepas berucap pada majlis Astro Fiesta Mesra Belia di Beris Kubur Besar di sini, Sabtu.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Mustapa berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus Awang Adek akan ditentang calon PKR bagi kerusi kawasan Parlimen Bachok yang kini diwakili bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata sambutan golongan muda terhadap program yang dianjurkan BN sangat menggalakkan termasuk program yang diadakan hari ini.

Katanya sambutan yang menggalakkan berbanding sebelum ini sebagai satu petanda baik untuk BN merampas Kelantan daripada pemerintahan PAS.

BN akan memperbanyakkan lagi program belia di seluruh negeri dengan kerjasama parti komponen BN, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain