suria

Program Tajaan 1MDB Mungkin Dipanjangkan Kepada Bilal, Siak & Guru KAFA

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu berkata program penajaan haji 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan sahaja akan diteruskan, malah mungkin akan digandakan jumlahnya sekiranya 'ada rezeki'.

Beliau berkata program itu juga tidak mustahil akan dipanjangkan kepada kelompok bilal dan siak serta guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), setelah sasaran menghantar para imam dan ketua kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat dicapai.

Dalam ucapannya pada majlis pelepasan jemaah haji 1MDB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Perdana Menteri turut berpesan agar jemaah Malaysia, yang merupakan duta kecil negara ke sana, agar menjaga kelakuan dan tutur kata, kerana adab sopan inilah yang menyebabkan Malaysia dihormati oleh masyarakat dunia.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Seramai 400 imam, ketua kampung dan pengerusi JKKK dari seluruh negara yang belum pernah mengerjakan ibadat haji diberi peluang menjadi tetamu Allah secara percuma melalui program itu kali ini, di mana surat tawaran diserahkan kepada mereka oleh Perdana Menteri pada 27 Ogos lalu.

Ini merupakan kumpulan kedua selepas kumpulan pertama 111 imam dan pengerusi JKKK menerima tajaan itu tahun lalu. Perdana Menteri turut berpesan agar jemaah Malaysia tidak bimbang berkenaan tarikh pilihan raya, sebaliknya menumpukan perhatian terhadap amal ibadat agar dapat melaksanakan segala rukun dan syarat haji serta umrah dengan sempurna.

"Dan juga, sebagai tetamu Allah, doa tuan-tuan amat mahal dan mustajab di sisi Allah, oleh itu mohon disudikan untuk tuan-tuan mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran negara, para pemimpin serta rakyat keseluruhannya," katanya.

Najib juga berkata berubah kepada suatu keadaan yang lebih baik merupakan satu tuntutan dan ajaran asas dalam agama Islam, dan usaha perbaikan atau 'islah' itu merupakan agenda terpenting kerajaan pimpinan beliau.

Beliau berkata 'islah' itulah yang menjadi roh kepada gagasan program transformasi nasional, untuk meletakkan negara menjadi sebuah negara Islam moden yang maju dan berpendapatan tinggi. "Sesungguhnya, kita tidak pernah melupakan bahawa agenda Islam merupakan teras dalam kita membangun serta memajukan negara Malaysia ini. 'Islah' yang menyeluruh dan berstrategik ini juga amat menepati kehendak Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara.

"Apa yang lebih penting untuk difahami bahawa rahmat yang dibawa oleh 'islah' ini bukannya terhad kepada orang Islam sahaja bahkan rahmat ini dapat dinikmati sama dengan sebaik-baiknya oleh warga negara yang bukan Islam," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain