suria

Polis Hanya Memantau Kes Suaram - Ismail Omar

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia tidak terlibat secara langsung dengan siasatan ke atas Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Suara Inisiatif Sdn Bhd yang didakwa menerima dana asing bagi menjalankan operasi mereka, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada Sabtu.

Bagaimanapun, polis tetap memantau perkembangan kes itu yang kini di bawah siasatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, katanya dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan dengan Ahli Rakan COP Peringkat Negeri Selangor di sini. Ismail berkata biar pihak berkuasa tertentu menjalankan siasatan dan beliau percaya segala tindakan yang bakal diambil pasti mengikut lunas undang-undang. Mengenai Rakan COP, Ismail berkata beliau mahu ada peningkatan pada badan yang ditubuhkan pada 2004 itu terutama dari segi kualiti maklumat yang diberikan kepada pasukannya. Oleh itu, b eliau berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Rakan-rakan COP di seluruh Malaysia dan program-program seperti ceramah motivasi seperti hari ini akan dijadikan pengisian pada pertemuan-pertemuan berkenaan.

Pada hari ini juga, beliau berkata polis menganugerahkan sijil penghargaan kepada lima anggota-anggota rakan COP yang aktif di Selangor, iaitu Tan Chong Hwa, 48; Suriani Norbaya Sanusi, 38; Jeferi Ahmad Fauzee, 39; Zahrullail Abdul Manap, 41; dan Muhammad Affendi Mohamed Fathil, 40, kerana bantuan mereka kepada polis. Rakan COP kini mempunyai 495,303 ahli di seluruh negara dengan 67,896 ahli dari Selangor.

Ditanya sama ada polis akan memanggil Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham untuk siasatan setelah banyak laporan polis dibuat terhadapnya, beliau berkata pihak polis perlu menilai laporan berkenaan sama ada, ada jenayah berlaku. "Kalau ada kita siasat, kalau tak ada kita tak siasat," katanya.

Dalam laman twitternya, Ngeh didakwa mempersoal sama ada umat Islam menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga membantah filem "The Innocence of Muslims" arahan Sam Bacile dari California, yang menghina dan memfitnah Nabi Muhammad s.a.w. hingga mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain