suria

Kastam Johor Berkas Dua Warga Asing Seludup Dadah RM2.09 Juta

JOHOR BARU: Kastam Johor memberkas dua warga asing yang cuba membawa masuk dadah bernilai RM2.09 juta menerusi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Bangunan Sultan Iskandar di sini.

Pengarah Kastam Johor Datuk Ramli Johari berkata dua suspek itu ditahan secara berasingan pada 8 dan 19 September oleh Kastam Unit Pemeriksaan Penumpang Pejalan Kaki.

Dalam kes pertama, suspek lelaki warga Afrika Selatan ditahan pada pukul 12.20 tengah hari selepas imbasan ke atas bagasinya menunjukkan imej mencurigakan dan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dua plastik lut sinar mengandungi bungkusan hitam disorok dalam beg komputer di dalam bagasi itu.

"Bungkusan kertas hitam itu mengandungi ketulan-ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis Metamphetamine dengan anggaran berat kasar 6 kg yang ditaksir bernilai RM1.14 juta," katanya pada sidang media, di sini Jumaat.

Katanya penangkapan lelaki berusia 41 tahun itu adalah yang pertama di KIK tersebut sejak beroperasi pada Disember 2008.

Tangkapan kedua melibatkan wanita berusia 24 tahun pada 2.15 petang, 19 Sept lalu selepas Kastam Unit Pemeriksaan Penumpang Pejalan Kaki mengesan suatu objek mencurigakan dalam ruangan rahsia bagasinya.

Pemeriksaan lanjut menemui bungkusan berwarna coklat yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah Metamphetamine seberat 5 kg yang ditaksir bernilai RM950,000.

Beliau yang enggan memberitahu negara asal wanita terbabit turut menolak kaitan antaran kedua-dua kes walaupun modus operandi hampir sama.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain