suria

HUbungan Dua Hala Malaysia-China Ditingkatkan, Isu Tuntutan Bukan Halangan

NANNING: Malaysia dan China terus mengorak langkah untuk mempertingkat hubungan dua hala tanpa menjadikan isu pertindihan tuntutan di Laut China Selatan sebagai penghalang.

Hubungan dua hala itu dipereratkan lagi apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan pada Jumaat dengan Naib Presiden China Xi Jinping, yang menunjukkan minat terhadap Malaysia kerana tidak dapat 'melupakan' tiga sokongan yang diberikan Malaysia berkaitan hubungannya dengan China.

Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira setengah jam itu, Muhyiddin dan Xi menyentuh pelbagai isu termasuk hubungan dua hala Malaysia-China, hubungan dengan Asean dan mengenai pertindihan tuntutan Laut China Selatan.

Muhyiddin berkata Xi tidak dapat melupakan Malaysia kerana menjadi negara Asean pertama menjalin hubungan diplomatik dengan China pada 1974, menjadi negara pertama mengajak republik itu menyertai Asean+1 dan menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Asean-China.

"Dia (Xi) amat menghargai sokongan yang diberikan Malaysia," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerjanya ke China selepas mengadakan pertemuan dengan Xi.

Menyentuh pertindihan tuntutan Laut China Selatan, Muhyiddin berkata beliau menyatakan pendirian Malaysia kepada Xi bahawa soal itu tidak harus menghalang hubungan dua hala antara Malaysia-China seperti dalam bidang ekonomi yang telah lama terjalin.

"Walaupun masalah belum selesai tapi hubungan dagang dan pelaburan mesti berjalan dan tidak terganggu," katanya.

Katanya Malaysia mengambil pendirian bahawa tuntutan bertindih itu harus diselesaikan secara aman melalui dialog, rundingan antara negara yang terlibat atas dasar multilateral, hubungan pelbagai hala dan tidak menggunakan kuasa ketenteraan, ugutan, berdasarkan undang-undang antarabangsa dan tidak berdasarkan sejarah.

Beliau berkata pelaksanaan Kod Tatalaku (CoC) Laut China Selatan dan usaha berterusan untuk menjayakan kod tatalaku itu adalah penting untuk menyelesaikan isu tuntutan itu.

"Kita memandang ke depan untuk gunakan perundingan mengenai CoC serantau seberapa segera yang boleh. Sementara itu hubungan itu harus disegerakan dan isu ini tidak harus jadi penghalang hubungan China dan negara lain," katanya.

Malaysia, Filipina, Brunei, Vietnam, China dan Taiwan membuat tuntutan bertindih wilayah membabitkan Laut China Selatan.

Pertemuan dua hala itu juga turut menekankan aspek perdagangan di mana kedua-dua pemimpin itu berbincang mengenai bidang pelaburan dan pembangunan serta taman perindustrian usaha sama Malaysia-China iaitu Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Taman Perindustrian Qinzhou.

Xi, menurut Muhyiddin, memberikan komitmen bahawa kedua-dua projek itu menjadi simbol dalam hubungan China-Malaysia.

Dalam pertemuan dua hala itu, Muhyiddin berkata Xi menyatakan hasratnya untuk meningkatkan hubungan dagangan Asean-China dalam empat bidang.

Empat bidang itu ialah terus memperkukuh Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) China-Asean yang melibatkan hubungan kerajaan-dan-kerajaan dan peranan swasta; kepentingan pelaburan dua hala untuk meningkatkan hubungan China-Asean; soal kesalinghubungan dalam pelbagai bidang dan penekanan hubungan rakyat dengan rakyat terutama generasi muda, pelajar dan belia di mana beliau mencadangkan penubuhan program pertukaran melibatkan 100,000 pelajar China dan 100,000 dari Asean.

Berhubung FTA, Xi dalam ucapannya ketika merasmikan Ekspo China-Asean menyatakan banyak kemajuan dicapai oleh Asean dan Malaysia berbanding sebelum ini.

"Skop (FTA) itu masih luas, dia sebut penyusunan FTA kena bagi banyak manfaat kepada pelabur, pedagang dan sebagainya kena ambil bahagian dalam FTA," katanya.

Pada pertemuan itu juga, Muhyiddin mengundang Xi untuk membuat lawatan rasmi ke Malaysia.

Katanya pemimpin China itu telah menyatakan kesediaan untuk mengunjungi Malaysia dan beliau mencadangkan agar ia dapat dilakukan sebelum akhir tahun ini.

Muhyiddin turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Xi di atas pinjaman Panda yang dijadualkan tiba di Malaysia pada 2014.

"Beliau anggap ini perkara yang dianggap simbolik untuk hubungan Malaysia-China.

"China tidak beri (pinjaman Panda) pada semua orang," katanya.

Beliau berkata fasiliti untuk panda itu di Taman Wetlands sedang dibangunkan yang dijangka dapat menarik ramai pengunjung apabila haiwan itu ditempatkan di kawasan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain