suria

Dua Lelaki Nyaris Maut Dalam Kemalangan Di Lebuhraya PLUS

BUTTERWORTH: Dua lelaki nyaris maut dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 137.7 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menghala ke Sungai Dua awal pagi Sabtu.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supt Wan Aziz Wan Husin berkata kemalangan pada 2 pagi itu berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu laju oleh seorang lelaki merempuh sebuah lori yang sedang mengiringi kerja pembersihan lori Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel).

Beliau berkata pertembungan ketiga-tiga kenderaan itu menyebabkan kereta berkenaan berpusing di jalan raya sebelum bertembung pula dengan sebuah kereta lain yang datang dari arah belakang.

"Kereta pertama itu melanggar lori yang sedang membuat pembersihan di laluan laju (kanan) dan pemandu kereta berkenaan parah sementara pemandu kereta kedua cedera ringan," katanya.

Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut sementara pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu pemandu lori pengiring Propel, Syed Abdullah Syed Alwi, 49, berkata sewaktu kejadian beliau memandu kenderaannya dengan kelajuan minimum dan beliau tidak sempat mengelak kereta terbabit daripada melanggarnya.

"Rempuhan itu terlalu kuat dan saya tidak sempat elak daripada melanggar lori Propel yang berada di hadapan menyebabkan tangki minyak lori itu bocor dan melimpah ke atas jalan raya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya jalan yang licin dan tumpahan minyak menyebabkan kereta yang melanggarnya berpusing 180 darjah dan bertembung dengan kereta lain yang datang dari arah belakang sebelum terbakar.

Dua kereta berkenaan kemek teruk sementara dua lori yang turut terlibat dalam kemalangan itu hanya mengalami kerosakan kecil dan difahamkan anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadam kebakaran serta mengeluarkan mangsa tersepit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain