suria

APMM Gagalkan Cubaan Seludup 11,000 Liter Petrol Subsidi

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)Tawau menggagalkan cubaan menyeludup keluar sebanyak 11,125 liter petrol bersubsidi bernilai RM21,137 melalui perairan Semporna, Jumaat.

Pengarah Operasi APMM Tawau, Komander Maritim Azman Samsudin berkata petrol bersubsidi yang disimpan di dalam 445 tong berkenaan dirampas hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot jongkong yang dipercayai dalam perjalanan ke Pulau Sitangkai, Filipina, pada 10.30 malam.

"Ini merupakan kes kedua pada minggu ini yang melibatkan penyeludupan minyak petrol (bersubsidi) di perairan Semporna. Kes sebelum ini (pada awal pagi 19 September lalu) melibatkan 11,250 liter minyak petrol," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

Menurut Azman tiga orang awak-awak berserta juragan bot warganegara Filipina berumur lingkungan 20-an dan 40-an ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

APMM Tawau akan terus menjalankan pemantauan di kawasan perairan negara bagi menyekat sebarang kegiatan penyeludupan dan memastikan perairan selamat dan terkawal, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain