suria

Pengerusi SPR Bidas Saifuddin Beri Maklumat Mengelirukan

PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof membidas parti pembangkang kerana didakwa memberi maklumat mengelirukan berhubung pengundi meragukan di Selangor.

Beliau amat kecewa dengan tindakan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution yang didakwa menggunakan sekeping gambar dan alamat surat-menyurat sebuah pondok di Gombak untuk menyokong dakwaannya mengenai 13 pengundi meragukan yang berdaftar menggunakan alamat tersebut.

"Saya mengarahkan beberapa pegawai saya untuk memeriksa kawasan tersebut dan sebenarnya kawasan itu luas dan dikelilingi rumah. Gambar itu hanya fokus kepada pondok tersebut tetapi anda tidak melihat rumah kediaman.

"Pondok itu hanya digunakan oleh penduduk di kawasan itu untuk meletakkan motosikal dan terdapat kedai kopi di sana yang menggunakan alamat surat-menyurat itu.

"Rumah-rumah tersebut terletak di bukit sekitarnya dan dilindungi pokok. Sebab mengapa mereka menggunakan alamat sama adalah kerana ia terletak di atas tanah rata dan memudahkan posmen untuk menghantar surat.

"Ini tidak unik...terdapat banyak kes di mana orang ramai menggunakan alamat sama atas sebab-sebab serupa. Ia tidak bermaksud pengundi-pengundi ini tinggal di pondok tersebut," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain