suria

Polis Pulau Pinang Tumpas Geng Curi Motosikal

NIBONG TEBAL: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri motosikal yang dikenali sebagai geng 'Mojad' selepas menahan empat anggotanya dan merampas pelbagai komponen alat ganti motosikal bernilai lebih RM50,000 dalam beberapa serbuan di sekitar sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafien Mamat berkata empat lelaki yang ditahan itu berusia antara 16 hingga 19 tahun dan salah seorangnya adalah pelajar kolej.

"Hasil risikan sejak sebulan lepas oleh pasukan petugas, polis berjaya mengesan beberapa anggota geng berkenaan yang aktif menjalankan kegiatan mencuri motosikal di sekitar Pulau Pinang sejak Mac lepas.

"Kumpulan Mojad ini bertindak mencuri motosikal untuk mendapatkan komponennya bagi dijual di pasaran gelap dan kepada kenalan-kenalan rapat anggotanya," katanya pada sidang akhbar di sini Khamis.

Katanya tangkapan pertama adalah pada 7 September lepas iaitu dua lelaki di Jalan Sentosa, Sungai Bakap selepas mereka mencuri sebuah motosikal di hadapan sebuah kafe siber.

Shafien berkata susulan tangkapan itu, pada 9 Sept lalu polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Permatang Ara dan menahan seorang lagi anggota geng berkenaan yang merupakan mekanik membaiki motosikal yang bertindak menukar alat ganti dan meleraikan motosikal yang mereka curi.

"Polis berjaya merampas pelbagai komponen alat ganti motosikal curi yang disimpan di sebuah pondok kecil di belakang rumah mekanik berkenaan dan antara barangan yang ditemui ialah tiga buah motosikal curi, lima buah rangka motosikal, 25 buah komponen enjin dan lima buah ekzos.

Kesemuanya bernilai RM50,000," katanya. Katanya selepas menahan mekanik itu, polis turut menahan seorang lagi lelaki yang juga anggota geng berkenaan di Sungai Bakap pada hari yang sama.

Beliau berkata modus operandi kumpulan berkenaan ialah mereka bergerak dua orang dengan menaiki motosikal dan meronda di kawasan yang banyak motosikal seperti di kafe siber dan pusat snuker sebelum bertindak mencuri di situ.

"Mereka akan mematahkan kunci 'tengkuk' motosikal dengan menendang dan menghidupkan kenderaan berkenaan menggunakan 'allen key' yang telah diubah suai. Siasatan mendapati mereka geng terbabit terlibat lebih 15 kes curi motosikal di sekitar negeri ini," katanya.

Sementara itu, Shafien berkata pihaknya sedang mengesan empat lagi anggota berkenaan termasuk dalang utama iaitu Mojad yang melarikan diri selepas menyedari rakan-rakan mereka ditahan polis.

Katanya mereka ialah Mohd Muhaizad Azizan (Mojad), 22, dan Mohd Nazri Nasir, 20, berasal dari Kampung Permatang Ara, Sungai Bakap serta Mohd Alif Abdullah, 19, beralamat di Taman Kesumbar dan Nurfahim Akmal Azmi, 19, yang tinggal di Jalan Aman di sini.

"Polis telah pergi beberapa kali ke rumah mereka dan kolej tempat salah seorang daripada mereka belajar, tetapi gagal menemui mereka dan kita percaya mereka melarikan diri," katanya dan menambah polis percaya mereka masih berada di Pulau Pinang.

Orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat tentang empat lelaki berkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis daerah SPS di talian 04-5824222 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain