suria

PAS Johor Mahu Koo Ham Minta Maaf

KUALA LUMPUR: PAS Johor mahu Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham memohon maaf berhubung soalan provokasinya terhadap hasrat umat Islam negara ini melakukan protes terhadap filem anti-Islam, Innocence of Muslims pada Jumaat ini.

Memetik laporan Utusan Malaysia pada Khamis, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, perkara yang dilakukan oleh Koo Ham itu amat mengguris hati, sekaligus membangkitkan kemarahan umat Islam kerana ia melibatkan kesucian Islam serta kemuliaan Rasulullah S.A.W.

Atas dasar itu juga, Mahfodz berkata, beliau memberi sokongan penuh terhadap usaha Dewan Pemuda PAS dan Pergerakan Pemuda Umno menganjurkan protes pada Jumat ini bagi menunjukkan bantahan terhadap penerbitan serta penyiaran filem anti-Islam itu.

"Sekalipun Pemuda PAS dan Pemuda Umno mahu bergabung untuk menunjukkan protes, saya tidak ada masalah. Ini soal kesucian agama kita dan ia melangkaui kepentingan politik," katanya kepada akhbar berkenaan.

Beliau mengulas laman Twitter Koo Ham pada Isnin.

Mahfodz yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS berkata, menjadi tanggungjawab kepada semua umat Islam tanpa mengira parti mempertahankan Islam daripada dicerca dan dihina oleh pihak lain.

"Ini soal kesucian agama kita dan kemuliaan Rasulullah.

"Cuba lihat di negara-negara Arab bagaimana umat Islam di sana bangkit membantah dengan keras penerbitan filem anti-Islam tersebut," katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hasan di laman Twitternya pada Rabu berkata, bantahan demi bantahan demi mempertahankan Rasulullah adalah kewajipan minimum yang perlu ditunaikan oleh semua umat Islam.

"Masa yang diberi adalah pahala dan bukannya membazir," kata Nasrudin.

Artikel Sebelum

Artikel Lain